Menjadi seorang pendidik merupakan satu tanggungjawab yang amat besar. Ia harus diselangi dengan kesabaran serta minat yang mendalam bagi mencorak masa depan anak-anak murid.

Kita sendiri boleh lihat pengorbanan yang dilalui oleh seorang guru hanya untuk memastikan anak-anak didik mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran oleh Skyjuice Haqeem menerusi laman Facebook yang berkongsi tentang 10 nasihat berguna daripada mantan guru dalam usaha menjadi pendidik yang lebih baik dan bertanggungjawab.

  1. Beri hak murid untuk makan pada waktu rehat dan balik pada waktunya. Usah tahan walaupun apa jua alasan.
  2. Setiap awal pagi, guru yang masuk kelas masa pertama, ambil dua minit tanya solat Subuh. Beri pujian pada yang solat dan jangan layan murid yang memperlekehkan kawannya. Minta serta doakan yang tidak solat supaya qada nanti semasa waktu rehat.
  3. Guru yang mengajar waktu akhir, ingatkan murid agar bersolat Zohor. Beritahu mereka ALLAH sayang semua hamba-Nya. Jika solat, lagi ALLAH sayang.
  1. Kalau ada perhimpunan pagi, beri kata-kata semangat atau motivasi kepada murid. Usah rosakkan ‘mood’ murid-murid hanya kerana kesalahan dua hingga tiga orang dengan membaca talkin. Rosak ‘mood’ murid.
  2. Jaga aib murid. Jangan tularkan di bilik guru mahupun kantin. Tidak memasal guru lain menyampuk dan akhirnya bertukar menjadi mengumpat.
  3. Muka depan kertas soalan sudah seperti soalan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau universiti terutama bagi Tahun Satu, Dua dan Tiga. Siap lengkap dengan ada lencana. Bincang dengan pentadbir untuk wujudkan semula muka depan kertas soalan peperiksaan yang menarik seperti zaman mereka. Ada gambar kartun, cendawan bunga.
  4. Ketika waktu rehat, sediakan peralatan untuk mereka guna. Boleh gantikan aktiviti meronda dan berlumba lari kepada catur, dam ular, buku cerita, bermain batu seremban dan banyak lagi.
  5. Sediakan siap-siap pensel dan kertas kajang jika terdapat kes ketiadaaan pensel dan kes buku tertinggal. Jadi, mereka boleh balik rumah untuk tampal semula. Tidak guna beri amaran untuk siapkan di rumah. Nanti cikgu semula yang kena sebab murid lupa untuk siapkan.
  1. Kalau murid datang cakap hilang duit, tidak perlu cakap banyak, sedekahkan kepadanya seringgit dua. Dia datang pada kita sebab ALLAH yang hantar.
  2. Sebelum keluar kelas, tinggalkan doa buat murid-murid. Biar murid tahu kita hanya garang semasa mengajar tetapi sebelum habis kelas kita guru yang penyayang.

Untuk ingatan dan idea berguna buat sahabat dalam arena pendidikan.

Banyak dapat ilmu bila berbual dengan orang lama. Memang betul, orang lama kalau sudah berbual memang seronok melayan.

Sumber: Facebook Skyjuice Haqeem

Sumber GPS Bestari